ARRC: Honda Racing Malaysia ‘Gantung’ Krew Tunjuk Isyarat Kurang Sopan
UltraSukan
Honda Racing Malaysia

Pasukan Honda Racing Malaysia mengambil tindakan segera dengan menggantung krew yang menunjukkan isyarat tidak sopan selepas perlumbaan kedua ASB1000 di Sepang baru-baru ini.

Insiden itu berlaku susulan insiden pelanggaran antara pelumba pasukan itu, Zaqhwan Zaidi dan pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah pada pusingan terakhir perlumbaan.

Gambar insiden membabitkan krew berkenaan bukan saja tular di media sosial. Malah, ia turut mencetuskan kemarahan peminat sukan permotoran Malaysia.

Lantaran itu, pengurusan Honda Racing Malaysia memaklumkan mereka telah menggantung krew tersebut berkuatkuasa serta-merta.

“Selepas membuat semakan dalaman, tindakan disiplin telah diambil. Individu yang terlibat telah digantung daripada semua aktiviti pasukan berkuatkuasa serta-merta,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

“Sebagai sebahagain daripada komitmen kami mengekalkan piawaian yang tinggi dari segi tingkah laku, kami akan memperkukuh kesedaran dalaman dan pendidikan bagi memastikan semua ahli pasukan menunjukkan integriti, disiplin dan hormat di dalam dan luar litar.”

Terdahulu, Zaqhwan dikenakan denda lebih RM2,000 dan Long Lap Penalty (LLP) susulan insiden pelanggaran tersebut.

JDT Racing Team kemudiannya mengeluarkan kenyataan sebarang isu yang timbul antara pasukan itu dan Honda Racing Malaysia sudah diselesaikan secara berhemah.