Kedudukan Malaysia kini terus kukuh dalam kelompok 120 terbaik dunia menurut ranking masa-nyata FIFA hasil satu lagi kemenangan ke atas Laos pada Selasa.
Skuad Harimau Malaya turun membawa misi penting mencari kemenangan ke-4 dalam aksi menentang Laos kali ini setelah mempamer persembahan hebat dalam 3 perlawanan dahulu.
Walau bagaimanapun, cabaran hebat diberikan oleh Laos di separuh masa pertama apabila anak-anak buah Ha Hyeok-jun terlebih dahulu di hadapan sebelum Malaysia bangkit di babak kedua.
5 jaringan daripada Faisal Halim, Romel Morales, Paulo Josue dan satu gol sendiri memastikan kemenangan bergaya untuk Harimau Malaya meneruskan cita-cita besar ke pentas Piala Asia.
Kejayaan 5-1 ini membolehkan Malaysia mengutip tambahan +6.53 mata FIFA dan mengumpul keseluruhan 1,161.53 mata sekaligus melonjak satu lagi anak tangga dalam kiraan masa-nyata.
Lonjakan ini menyaksikan Malaysia kini di kedudukan ke-118 dunia dan berjaya memintas The Gambia meskipun pasukan dari benua Afrika tersebut mencatatkan kemenangan besar semalam.
Kedudukan masa-nyata ini masih boleh berubah oleh kerana beberapa aksi lagi akan berlangsung dalam tempoh terdekat melibatkan negara yang memiliki mata ranking yang hampir dengan Malaysia.
Mengikut kiraan kasar, kedudukan Malaysia di tangga ke-118 dunia tidak akan terjejas dengan keputusan lain dan menjadi detik indah buat skuad negara yang menjejakkan kaki dalam kelompok 120 terbaik.
Selepas ini, Malaysia akan menentang Nepal dalam aksi ke-5 pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 pada 18 November hadapan di Stadium Nasional Bukit Jalil.