Malaysia mengukuhkan tempat di posisi terbaik untuk layak ke Piala Asia setelah berjaya menundukkan Laos dalam aksi pusingan akhir kelayakan pada Selasa.
Skuad Harimau Malaya merekodkan kemenangan ke-4 dalam aksi kumpulan H apabila mengatasi Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil 5-1 meskipun ketinggalan satu jaringan ketika awal permainan.
Faisal Halim, Paulo Josue, gol sendiri pemain Laos dan dua jaringan Romel Morales memastikan Malaysia mengutip 3 mata di hadapan 18,901 penyokong yang hadir ke stadium.
Kemenangan 5-1 ini juga mengukuhkan kedudukan Malaysia di puncak kumpulan H dengan 12 mata maksimum manakala Vietnam di tangga kedua, ketinggalan 3 mata selepas 4 aksi.
Laos yang kalah dua kali kepada Malaysia berturut-turut pula menghuni tempat ke-3 kumpulan F dengan hanya mengutip 3 mata dan Nepal berada di kedudukan tercorot tanpa mata.
Selepas ini, Malaysia dijadualkan bertemu Nepal di Bukit Jalil pada 18 November tatkala Vietnam bakal menentang Laos di Vientiane pada tarikh yang sama untuk aksi ke-5 kumpulan F.
Hanya juara kumpulan sahaja bakal layak ke Piala Asia 2027 yang dijadualkan bermula pada 7 Januari hingga 5 Februari tahun tersebut dengan edisi kali ini diadakan di Arab Saudi.