Aksi keempat kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Laos bakal dilanda cuaca ribut petir.
Harimau Malaya dan Laos berentap buat kali kedua dalam aksi timbal balik Kumpulan F selepas berentap di Vientiane pada 9 Oktober lalu.
Meskipun begitu, aplikasi ramalan kaji cuaca AccuWeather menjangkakan hujan dan ribut petir bakal melanda kawasan sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bermula dari sebelah petang hingga jam 7.00 malam.
Setelah itu, cuaca dijangka kembali baik sekitar SNBJ termasuk waktu perlawanan bermula iaitu 9.00 malam.
Ramai penyokong menjangkakan cuaca tersebut tidak akan menggugat kualiti padang SNBJ. Ini kerana SNBJ sudah memiliki sistem saliran baru untuk memastikan padang stadium tidak digenangi air.
Sistem ini sudah terbukti dalam aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC yang berlangsung pada April lalu.
Sistem saliran baru SNBJ memastikan padang tidak digenangi air untuk aksi tersebut. Ini turut dibantu dengan persiapan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memastikan stadium sentiasa berada pada tahap terbaik.
Hal ini dijangka membantu skuad negara yang dibimbing Peter Cklamovski untuk menampilkan permainan berkualiti menentang Laos.
Seandainya Harimau Malaya berjaya memenangi perlawanan tersebut, kedudukan skuad negara selaku pendahulu F sukar dicabar dengan kutipan 12 mata.