EPL: Brentford Tambah Derita Liverpool
MakanBola
Brentford FC

Brentford memastikan Liverpool tewas buat kali keempat berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Komuniti Gtech.

The Reds kembali bersemangat selepas membelasah Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL). Aksi tersebut diharap dapat membantu Liverpool kembali meraih kemenangan dalam liga.

Mohamed Salah kembali berada dalam kesebelasan utama Liverpool. Bekas kapten The Reds, Jordan Henderson mengemudi jentera tengah The Bees.

Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Dango Ouattara seawal minit kelima. Bekas pemain Bournemouth itu pantas menolak bola Kristoffer Ajer melepasi penjaga gol, Giorgi Mamardashvili.

Brentford kemudiannya terpaksa membuat pertukaran awal pemain dengan memasukkan Vitaly Janelt menggantikan Yehor Yarmolyuk pada minit ke-29. Ini selepas Yarmolyuk mengalami kecederaan.

Pertukaran tersebut tidak menggugat rentak The Bees. Malah, mereka menggandakan kelebihan pada minit ke-45 menerusi Kevin Schade.

Bekas bek kiri Bournemouth, Milos Kerkez memastikan keputusan 2-1 sehingga rehat menerusi gol pada minit akhir babak pertama.

Bersambung pada babak kedua, perlawanan dimulakan lewat sedikit susulan kecederaan yang menimpa pengadil perlawanan, Simon Hopper. Pegawai keempat, Tim Robinson mengambil alih tugas sebagai pegadil.

Usaha Liverpool untuk bangkit makin sukar apabila tuan rumah dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-58. Ini selepas Virgil van Dijk dikesan menjatuhkan Ouattara dalam kotak penalti.

Penyerang Brazil, Igor Thiago menyempurnakan penalti yang menewaskan Mamardashvili bagi menjadikan kedudukan 3-1.

Salah mengurangkan defisit gol Liverpool dengan menyumbat gol kedua pasukan itu pada minit ke-89. Walau bagaimanapun, gol tersebut gagal menghalang keraian The Bees pada akhir perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Liverpool kini di tangga keenam dengan 15 mata. Brentford pula di tangga ke-10 dengan 13 mata.

Meskipun tewas, Sofascore memilih jeneral tengah Liverpool, Dominik Szoboszlai sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau meraih markah 9.2, 1.1 mata di hadapan Schade.

Selepas ini, kedua-dua pasukan bakal mengharungi pusingan keempat Piala EFL. Liverpool bakal menentang Crystal Palace dengan Brentford pula berdepan Grimsby United.