Pelan Awal Jurulatih Laos Sekat Malaysia Tidak Menjadi
MakanBola
Lao FF

Jurulatih Laos, Ha Hyeok-jun mengakui usahanya untuk meraih sekurang-kurangnya keputusan seri dengan Malaysia tidak menjadi.

Laos pada awalnya mendahului pada separuh masa pertama menerusi gol pemain tengah berusia 21 tahun, Chanthavixay Khounthoumphone.

Skuad negara kemudiannya bangkit pada separuh masa kedua dengan meledakkan lima gol. Faisal Halim, Romel Morales dan Paulo Josue mencetak nama sebagai penjaring.

Lebih malang, pemain pertahanan berusia 17 tahun, Khammanh Thapaseut menjaringkan gol sendiri.

Apabila diminta mengulas apa yang berlaku, Hyeok-jun mengakui perancangan awal mereka ialah mencuri satu mata daripada skuad negara.

Walau bagaimanapun, faktor keletihan anak buahnya dan kehandalan pemain Malaysia menyebabkan pelan jurulatih Korea Selatan itu terbantut.

“Rancangan kita ialah jadikan perlawanan ini sukar (buat Malaysia) dan harapnya mendapat keputusan seri. Separuh masa pertama, kita bermain dengan baik,” katanya selepas perlawanan.

“Tapi pada separuh masa kedua, kekuatan Malaysia dan pemain-pemain kita yang keletihan mengakibatkan kita dibolosi banyak gol. Jadi, itu tidak berlaku seperti yang dirancang.”

Selepas ini, Laos akan turun menentang Vietnam untuk aksi seterusnya Kumpulan F pada 19 November ini.