ARRC: Ryo Mizuno Hargai Tempoh Bersama JDT Racing Team
UltraSukan
JDT Racing Team

Pelumba Jepun, Ryo Mizuno tetap menghargai tempoh bersama JDT Racing Team meskipun tidak dapat berlumba dalam pusingan kelima ARRC di Sepang.

Mizuno membawa cabaran pasukan itu sebagai pelumba wild card untuk kategori ASB1000. Bekas jaguh BSB itu dilihat dapat menjadi sokongan buat Hafizh Syahrin Abdullah yang memburu kejuaraan ASB1000.

Meskipun begitu, Mizuno bernasib malang apabila mengalami kemalangan ketika sesi latihan bebas pertama di Sepang pada 10 Oktober lalu.

Pelumba berusia 27 tahun itu cuba menggagahkan dirinya beraksi dalam sesi kelayakan. Walau bagaimanapun, isu kecederaan memaksa Mizuno melupakan dua perlumbaan ASB1000.

Walaupun tidak dapat membantu JDT Racing Team, beliau tetap menghargai peluang yang diberi pasukan itu.

Malah, Mizuno tidak menolak seandainya diberi peluang menunggang jentera Ducati pasukan itu, beliau bersedia memanfaatkan peluang berkenaan.

“Walaupun kita hanya menghabiskan masa seminggu bersama, setiap ahli pasukan bersikap baik terhadap saya dan saya rasa gembira dan diberi penghormatan menjadi sebahagian daripada keluarga hebat ini.

“Sekiranya ada peluang lagi (pada masa hadapan), saya akan memanfaatkan peluang tersebut,” katanya di Instagram.

Selepas beliau memuat naik hantaran tersebut di Instagram, ramai peminat permotoran Malaysia mendoakan agar Mizuno cepat sembuh dan kembali beraksi selepas ini.