Pengendali Itali, Gennaro Gattuso mengakui kecewa kerana pasukannya terpaksa menentang Israel untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
Legenda AC Milan itu menyatakan pendiriannya selepas melihat Azzurri membenam Israel 3-0 dalam aksi terbaru Kumpulan I.
Gol penyerang Al-Qadsiah, Matias Retegui dan Gianluca Mancini memastikan hasrat Israel layak ke Piala Dunia 2026 musnah di Stadio Friuli.
Meskipun begitu, Gattuso turut menyatakan rasa kecewa kerana melihat Itali dipaksa menentang Israel. Seandainya Israel digantung seperti mana Russia, perlawanan ini tidak akan berlaku.
Malah, bekas jurulatih Hajduk Split itu turut membidas hipokrasi FIFA dan UEFA berhubung pendirian mereka terhadap Israel.
“Ianya menyedihkan kita dipaksa bermain menentang negara sebegini,” katanya seperti dikongsikan wartawan Chile, Rafael Arya Masry.
“FIFA dan UEFA bertindak pantas menendang keluar Russia daripada segalanya. Tetapi perkara sama tidak dibuat kepada Israel yang melakukan jenayah kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.”
Keputusan ini menyaksikan Itali kini mengumpul 15 mata, tiga mata di belakang pendahulu Kumpulan I, Norway. Israel pula di tangga ketiga dengan sembilan mata.