Ramadhan Saifullah Ancaman Terbesar Buat Terengganu
MakanBola
Kuching City FC

Pemain pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili melabel Ramadhan Saifullah Usman sebagai ancaman utama pasukan itu.

Hal ini dinyatakan pemain pertahanan kebangsaan itu apabila ditanya siapa pemain Kuching City yang mampu menguji benteng pasukan Pantai Timur itu.

Ubaidullah yang beraksi bersama Ramadhan dalam skuad Harimau Malaya menyifatkan pemain sayap berusia 24 tahun itu antara pemain The Cats yang perlu diawasi Peteh.

Ini dilihat kunci buat Terengganu jika mahu meraih kelebihan dalam aksi suku akhir pertama Piala FA membabitkan kedua-dua pasukan itu.

“Kuching mempunyai pemain berkualiti. Kita tahu kebolehan pemain import mereka selain Ramadhan Saifullah yang menjadi antara senjata utama dengan kepantasan serta kebijaksanaannya mencari ruang.

“Saya harap penyokong dapat turun ke stadium untuk bersama kami dan Insya Allah, kita cipta kejayaan bersama,” katanya.

Terengganu dilihat yakin selepas meraih beberapa keputusan positif dalam Liga Super. Ubaidullah percaya hal ini akan membantu Peteh bila berdepan Kuching City di laman sendiri.

“Sudah tentu kami berada dalam momentum yang baik dan ingin meneruskan rentak tersebut. Perlawanan pertama di sini amat berharga untuk kita membawa bekalan ke Kuching nanti,” ujarnya.

Terengganu akan menentang Kuching City untuk aksi suku akhir pertama pada 18 Oktober ini. Peteh mara ke suku akhir selepas menyingkirkan Imigresen FC di pusingan 16 terbaik.