Aksi kelayakan Piala Dunia 2026 antara Costa Rica dan Nicaragua terganggu apabila polis negara itu cuba menahan seorang pemain pelawat.
Akhbar Daily Mail melaporkan insiden ini berlaku beberapa jam sebelum perlawanan bermula. Ini selepas pemain Nicaragua yang tidak dinamakan itu gagal membayar nafkah anak kepada pasangannya.
Pemain tersebut tidak ditahan oleh pihak berkuasa Costa Rica. Selepas perlawanan, satu persetujuan dicapai di mana pemain Nicaragua itu membayar hutang nafkah tersebut.
Meskipun begitu, tidak dinyatakan sama ada pemain berkenaan mengambil bahagian dalam aksi membabitkan Costa Rica dan Nicaragua.
Aksi tersebut berakhir dengan tuan rumah meraih kemenangan 4-1 ke atas pelawat. Costa Rica menyumbat empat gol menerusi Alfonso Martinez, Manfred Ugalde dan Francisco Calvo.
Nicaragua pula meraih gol saguhati Junior Arteaga. Keputusan ini menyaksikan Nicaragua di tangga keempat Kumpulan C dengan satu mata selepas mengharungi empat perlawanan.
Costa Rica pula menduduki tempat kedua kumpulan dengan enam mata, dua mata di belakang pendahulu kumpulan, Honduras.
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan Persekutuan Bola Sepak Nicaragua (FENIFUT). Ini kerana pihak berkuasa Costa Rica mengetahui keberadaan mereka dan insiden itu tidak sepatutnya berlaku.
Justeru, FENIFUT menggesa FIFA mengadakan satu siasatan yang telus dan mengambil langkah konkrit bagi mengelakkan perkara sama berulang pada masa hadapan.