Indonesia memilih menamatkan khidmat legenda Belanda, Patrick Kluivert sebagai pengendali pasukan itu.
Keputusan itu diumumkan pengurusan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
“Setelah melalui diskusi yang terbuka dan penuh rasa saling menghormati, kedua-dua belah pihak sepakat untuk mengakhiri kerjasama ini.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Coach Patrick Kluivert dan pasukan kejurulatihannya atas komitmen dan profesionalisme yang telah mereka tunjukkan.
“Semangat dan kehadiran mereka di Indonesia akan selalu dikenang dengan rasa hormat dan kami mendoakan yang terbaik untuk langkah mereka selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Kluivert dibawa masuk menggantikan pengendali Tim Garuda sebelumnya dari Korea Selatan, Shin Tae-yong.
Sepanjang bersama Indonesia, beliau merekodkan tiga kemenangan, satu seri dan empat kekalahan. Ini termasuk kekalahan di tangan Arab Saudi dan Iraq dalam pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026.