Bekas pengendali Ulsan HD, Shin Tae-yong menafikan khabar angin bahawa beliau akan kembali ke Indonesia.
Hal ini ditegaskan beliau menerusi satu temu bual bersama saluran berita KBS baru-baru ini. Khabar ini timbul selepas penggantinya, Patrick Kluivert berada dalam kedudukan goyah.
Ini selepas Indonesia gagal layak secara merit ke Piala Dunia 2026 menerusi pusingan keempat kelayakan. Tim Garuda tewas kepada Arab Saudi dan Iraq dalam pusingan tersebut.
Susulan itu, PSSI mengambil keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan Kluivert secara persetujuan bersama.
Apabila ditanya tentang khabar angin tersebut, Tae-yong dengan tegas menafikan beliau bakal kembali ke pangkuan pasukan Asia Tenggara itu.
“Saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa khabar angin pelantikan semula saya sebagai jurulatih Indonesia sebagai tidak benar sama sekali,” katanya.
Tae-yong turut membidas sesetengah pihak di Korea Selatan yang memperlekeh pencapaiannya bersama Tim Garuda.
“Mereka kerap memperlekeh tempoh saya di Indonesia tetapi bagaimana pasukan ke-127 dalam ranking FIFA mampu menewaskan Arab Saudi dan mengikat Australia.
“Itu tidak masuk akal. Jika kelab (Ulsan HD) memberi sokongan kepada saya, saya akan bawa pasukan ke kelompok enam terbaik,” tambahnya.
Tae-yong turut menggunakan temu bual sama untuk menafikan semua dakwaan yang timbul ketika beliau membimbing Ulsan HD.