Legenda Liverpool, Jamie Carragher berpotensi mencetuskan kemarahan peminat bola sepak Afrika apabila mendakwa tiada siapa akan menonton Cape Verde beraksi di Piala Dunia.
Komen tersebut dibuat beliau selepas melihat beberapa pasukan termasuk Cape Verde layak ke Piala Dunia 2026.
Carragher yang pernah mewakili Liverpool dari 1996 hingga 2013 mendakwa pasukan kerdil seperti Cape Verde tidak mampu menarik minat peminat kejohanan itu.
“Akan ada beberapa perlawanan membosankan dalam Piala Dunia kali ini. Tiada siapa dengan pemikiran yang logik akan teruja untuk perlawanan Cape Verde lawan Uzbekistan atau Jordan lawan Tunisia,” katanya seperti dilaporkan FootyRoom.
Komen kontroversi ini dijangka menimbulkan kemarahan ramai peminat bola sepak di Asia dan Afrika. Ini kerana tiga daripada empat pasukan yang disebut Carragher membuat penampilan pertama di Piala Dunia kali ini.
Ini bukan kali pertama legenda The Reds itu mencetuskan kemarahan peminat bola sepak Afrika. Sebelum ini, Carragher turut mendakwa Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bukan kejohanan yang berprestij.
Komen tersebut yang dilaporkan BBC Sport mencetuskan kemarahan bukan saja peminat tetapi juga beberapa penganalisis bola sepak.
Antara yang tidak bersetuju dengan Carragher ialah bekas pemain pertahanan Manchester City, Micah Richards dan legenda Manchester United, Rio Ferdinand.
Kapten Mesir, Ahmed Elmohamady turut membidas kenyataan legenda England itu. Ini kerana kejayaan menjulang AFCON merupakan satu penghormatan bagi negara-negara Afrika.