Penyokong Negara Haram Dilarang Bertandang Ke Aston Villa
MakanBola
Aston Villa FC

Penyokong kelab Israel, Maccabi Tel Aviv dilarang daripada menghadiri aksi Liga Europa UEFA (UEL) antara pasukan itu dan Aston Villa.

Keputusan tersebut dibuat Kumpulan Penasihat Keselamatan (SAG), sebuah entiti yang bertanggungjawab membuat penilaian risiko keselamatan untuk sesebuah perlawanan bola sepak.

BBC Sport melaporkan SAG telah memaklumkan keputusan mereka kepada pengurusan Villa. Susulan itu, kelab memaklumkan mereka akan mengambil langkah terbaik demi menjaga keselamatan penyokong yang hadir.

Keputusan itu turut disokong Polis West Midlands. Pihak berkuasa West Midlands memaklumkan mereka bimbang sekiranya protes pro-Palestin berlaku apabila Maccabi Tel Aviv hadir ke aksi berkenaan pada 6 November ini.

Sebaik keputusan itu disiarkan, ramai pemimpin utama Britain mengecam keputusan tersebut termasuk Perdana Menteri, Sir Keir Starmer. Kecaman ini dibuat atas alasan sukan sepatutnya menjadi unsur penyatuan.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Birmingham Perry Barr, Ayoub Khan menyambut baik keputusan SAG. Ini kerana keputusan ini dilihat menjamin kesejahteraan penyokong yang hadir.

Ini bukan kali pertama kehadiran penyokong Maccabi Tel Aviv mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pihak berkuasa.

Sebelum ini, pergaduhan tercetus antara penyokong kelab itu dan penduduk Amsterdam selepas aksi Liga Europa antara Maccabi Tel Aviv dan Ajax Amsterdam pada 2024.

Provokasi melampau penyokong kelab Israel itu mencetuskan kemarahan penduduk dan penyokong Ajax. Ini mengakibatkan beberapa penyokong ditahan pihak berkuasa Belanda.

Meskipun gencatan senjata telah dimeterai oleh Israel dan Palestin pada 10 Oktober lalu, perilaku ganas rejim di Palestin terus mendapat kecaman di peringkat antarabangsa.

Malah, Sepanyol bersedia memboikot Piala Dunia 2026 sekiranya Israel layak. Israel sah tidak layak selepas tewas dua aksi Kumpulan I di tangan Norway dan Itali baru-baru ini.