Vietnam Didakwa Buat Aduan Punca Siasatan FIFA Berlaku
MakanBola
Haniff Che Mohamad / MakanBola

Siasatan FIFA ke atas Malaysia melibatkan 7 pemain warisan Harimau Malaya didakwa berpunca daripada aduan oleh individu dari Vietnam.

Perkara ini didedahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram ketika menjelaskan kronologi panjang kes melibatkan Malaysia dan FIFA ini.

Seramai 7 orang pemain warisan Malaysia iaitu Jon Irazabal, Facundo Garces, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca serta Hector Hevel digantung 12 bulan oleh FIFA.

6 daripada mereka diturunkan dalam perlawanan berdepan Vietnam ketika pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun lalu yang mana Malaysia mencatatkan kemenangan 4-0 di Bukit Jalil.

Menurut S. Sivasundaram, satu laporan telah dibuat kepada FIFA oleh individu dari Vietnam yang dikatakan mempertikai kewarganegaraan 7 pemain warisan sehari selepas Malaysia kalahkan negara itu.

”Pada 11 Jun 2025, satu aduan telah dikemukakan oleh seseorang individu dari Vietnam yang mempertikaikan keasliam dokumen berkaitan (pemain warisan Malaysia),” kata Datuk S. Sivasundaram.

Selepas aduan itu dilakukan, FIFA membuka kertas siasatan berkenaan isu ini dan badan induk bola sepak dunia sempat memaklumkan kepada FAM tentang prosidibg disiplin yang dijalankan.

“Susulan itu, FIFA telah membuka siasatan terhadap perkara ini dan pada Ogos sehingga Oktober 2025, prosiding disiplin dijalankan oleh FIFA.”

“Pada 22 Ogos 2025, FIFA memaklumkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa mereka telah membuka prosiding disiplin rasmi berhubung isu berkenaan,” tambah beliau lagi.

Dakwaan itu bagaimanapun tidak didedahkan lebih lanjut oleh Datuk S. Sivasundaram dengan beliau beranggapan pula ini hanyalah sebuah andaian semata-mata sahaja.

Kes membabitkan FAM dan FIFA ketika ini sudah memasuki proses rayuan setelah 7 pemain warisan Harimau Malaya ini digantung dan dikenakan denda dengan keputusan dijangka bakal keluar pada 30 Oktober ini.