Malaysia tunduk kepada pasukan kebangsaan Filipina dengan keputusan 0-4 di Stadium Central, Dushanbe, Tajikistan pada Jumaat dalam aksi ketiga kelayakan Piala Asia B-17.
Malayan Tigress membariskan Putri Aina di bahagian penjaga gol dan Nur Qistina menggalas lilitan kapten pasukan manakala Laila Syamila mengemudi jentera serangan.
Sementara itu, Filipina menurunkan Bradley di benteng terakhir pasukan dan Aiselyn Sia mengetuai Filipinas bagi aksi bertemu Malayan Tigress.
Filipina berjaya membuka akaun jaringan seawal minit ke 5′ aksi menerusi Luna Rivera bagi memberikan kelegaan kepada kem pasukan tersebut.
Malayan Tigress yang tersentak dengan jaringan tersebut dilihat meningkatkan serangan bagi memperoleh gol penyamaan sekaligus mencerahkan peluang ke Piala Asia.
Filipinas berjaya menambah gol kedua perlawanan pada minit ke 22′ hasil jaringan cantik pemain bernombor 9, Chiara Mizzo untuk mengukuhkan lagi kedudukan.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan kebangsaan Filipina.
Bersambung babak kedua perlawanan, Malayan Tigress tampak meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol pertama negara.
Aiselyn Sia berjaya memberikan derita kepada pasukan Malaysia selepas menjaringkan gol ke-3 hasil umpanan sepakan penjuru pada minit ke 58′.
Memasuki minit ke 68′, Filipina berjaya mendapat gol ke-4 hasil jaringan sendiri pemain bernombor 3′ Nur Diana. Gol tersebut sekaligus menutup peluang pasukan negara untuk bangkit.
Perlawanan tamat dengan keputusan 4-0 memihak kepada pasukan kebangsaan Filipina.
Malaysia terpaksa akur tidak layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 apabila hanya juara kumpulan yang mara ke kejohanan berprestij itu.
Filipina mara ke Piala Asia B-17 wanita hasil kemenangan dalam semua aksi peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia B-17.