Keputusan rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara bakal diketahui pada 30 Oktober ini.
Perkara ini dinyatakan peguam sukan antarabangsa, Serge Vittoz yang mewakili FAM untuk proses rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Selepas Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengumumkan keputusan hukuman pada September lalu, FAM dan tujuh pemain tersebut telah memfailkan rayuan pada 14 Oktober lalu.
Vittoz memaklumkan keputusan rayuan dijangka diketahui pada 20 Oktober ini sebelum diumumkan secara rasmi kepada semua pihak berkenaan pada 30 Oktober.
“Kami diberitahu pada hari ini keputusan rasmi akan dikeluarkan pada 30 Oktober 2025 oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA.
“Kemungkinan besar ia akan dimaklumkan kepada pihak-pihak berkaitan pada hari yang sama atau beberapa hari selepas itu,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM.
Vittoz turut memaklumkan sekiranya FAM dan tujuh pemain tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Selepas (pengumuman) keputusan daripada Jawatankuasa Rayuan ini, jika FAM atau pemain tidak berpuas hati, mereka boleh mengemukakan rayuan ke CAS.
“Namun begitu, proses di peringkat itu (CAS) akan mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan,” ujarnya.
Vittoz juga memaklumkan FAM menghormati semua proses perundangan dan tatatertib FIFA. Badan induk itu percaya semua fakta yang dikemukakan akan diteliti sebelum keputusan akhir dibuat.
Vittoz turut memaklumkan ini dilihat selaras dengan komitmen FAM bukan saja untuk mempertahankan nama baik bola sepak negara. Malah, ini memastikan semua pemain mendapat keadilan sewajarnya.
Terdahulu, FAM mengumumkan Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Noor Azman Haji Rahman digantung berkuatkuasa serta-merta.
Badan induk itu turut mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa bebas yang bertujuan memperkukuh aspek pentadbiran dan tadbir urus FAM.