Liridon Krasniqi Berhijrah Ke England
MakanBola
Terengganu FC

Selepas beraksi seketika di Amerika Syarikat, Liridon Krasniqi kembali berkelana dengan England sebagai destinasi baharunya.

Ini selepas kelab Baller League UK, NDL FC mengumumkan bekas pemain Terengganu FC itu sebagai pemain baharu kelab berkenaan.

“NDL telah membawa masuk seorang legenda dari Germany Baller League, selamat datang Liridon Krasniqi,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sebaik perpindahan beliau diumumkan, pemain berusia 33 tahun itu ingin melihat sokongan penyokong terhadap kelab barunya itu. “Saya nak lihat betapa kuatnya (sokongan) penyokong (terhadap) NDL,” katanya.

Ramai figura menyambut baik perpindahan Liridon ke Baller League UK. Ini termasuk pencetus francais liga berkenaan dari Jerman, Baller League.

Liridon menjadi bekas pemain Liga Malaysia (Liga M) terbaru yang mewarnai saingan Baller League UK. Sebelum ini, bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri juga pernah beraksi untuk liga tersebut.

Sebelum menyertai kelab Cyprus, AEK Limassol, Forestieri beraksi sebagai pemain wild card untuk kelab N5 FC.

Saingan Baller League UK dijangka bermula pada 27 Oktober ini. Liridon dan NDL bakal berdepan N5 untuk aksi pertama liga pada tarikh tersebut.