Malaysia, Thailand dan Vietnam terus menunjukkan perubahan positif dari segi kedudukan ranking FIFA selepas dua aksi antarabangsa pada bulan Oktober.
Ranking terbaru menunjukkan Thailand masih berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik FIFA dengan ranking ke-96.
Vietnam dan Malaysia pula masing-masing berada dalam kelompok 120 pasukan terbaik dengan ranking ke-111 dan 118.
Pungutan mata ranking pula menyaksikan Vietnam meraih pungutan tertinggi iaitu 13.7 mata. Ini disusuli Malaysia yang merekodkan pungutan mata 13.3 dan Thailand (13.16 mata).
Pertambahan mata turut menyaksikan bilangan perubahan posisi yang besar yang dibuat Thailand dan Malaysia. Kedua-dua negara merekodkan perubahan ranking sebanyak lima anak tangga.
Thailand memintas Luxembourg, Palestin, Equatorial Guinea, Trinidad and Tobago serta Mozambique. Malaysia pula memintas Korea Utara, Sudan, Sierra Leone, Azerbaijan dan negara jiran, Indonesia.
Vietnam pula memintas tiga negara Afrika iaitu Comoros, Libya dan Mauritania. Ini berdasarkan semakan terbaru ranking FIFA yang dibuat baru-baru ini.
Semua ini dicapai selepas ketiga-tiga pasukan meraih keputusan positif dalam dua aksi antarabangsa pada Oktober. Harimau Malaya menewaskan Laos dalam dua aksi Kumpulan F.
Vietnam dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Nepal dalam dua aksi kumpulan sama. Thailand pula makin sukar digugat selepas menewaskan Chinese Taipei dalam Kumpulan D.
Selain tiga negara ASEAN ini, dua lagi negara iaitu Filipina dan Singapura turut merekodkan peningkatan mata dari segi pungutan mata ranking.
Filipina dan Singapura masing-masing merekodkan pungutan 15.09 dan 17.15 mata. Ini dicapai selepas kedua-dua pasukan masing-masing menewaskan Timor Leste dan India baru-baru ini.
The Azkals dan The Lions turut memperbaiki kedudukan ranking masing-masing dengan menduduki tangga ke-141 dan 155 dunia.