“Ini Selangor Patut Buat Dari Dulu” – Faisal Halim
MakanBola
Selangor FC

Kapten Selangor FC, Faisal Halim berkongsi resepi di sebalik kejayaan pasukan itu menewaskan Negeri Sembilan FC 4-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA.

Aksi yang berlangsung di Paroi pada 18 Oktober lalu menyaksikan Selangor membawa bekalan selesa untuk aksi timbal balik di Stadium MBPJ.

Faisal, Chrigor Moraes dan Zach Clough masing-masing mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan tersebut.

Pemain sayap kebangsaan itu melihat sistem empat pemain pertahanan yang diterapkan jurulatih interim, Christophe Gamel membantu Selangor tampil garang dalam aksi berkenaan.

“Ini sepatutnya yang Selangor buat dari dulu. Sistem yang lebih baik dan pemain-pemain lain menikmati sistem (permainan yang diterapkan).

“Walaupun sistem terbaik tetapi kalau pemain tak bersedia melakukan, tak jadi,” katanya selepas perlawanan.

Selepas tewas dalam aksi pertamanya ketika menentang Lion City Sailors dalam ACL2, Gamel kini membantu Selangor merekodkan dua kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Trend ini diharap dapat diteruskan dalam aksi Kumpulan G ACL2 apabila Merah Kuning berdepan juara liga Indonesia, Persib Bandung pada 23 Oktober.