Kelab China, Chengdu Rongcheng mendapat suntikan semangat menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pasukan yang dibimbing Seo Jung-won itu meraih kemenangan 3-1 ke atas Meizhou Hakka dalam aksi terbaru Chinese Super League (CSL).
Chengdu Rongcheng perlu menang seandainya mahu memberi tekanan kepada pendahulu liga dan juara bertahan, Shanghai Port.
Chengdu Rongcheng yang beraksi di gelanggang sendiri membuka tirai jaringan menerusi Ming-Yang Yang pada minit ke-18.
Meizhou Hakka kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah menyerang, Rodrigo Henrique tujuh minit selepas itu. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah makin garang memberi tekanan ke atas benteng Meizhou Hakka.
Timo Letschert dan Romulo memastikan Chengdu Rongcheng meraih tiga mata penuh menerusi gol pada minit ke-70 dan 82.
Meskipun begitu, Jung-won bakal memantau tahap kecergasan Romulo dan pemain Israel, Yahav Gurfinkel. Ini selepas kedua-duanya terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit akhir permainan.
Chengdu Rongcheng bakal menentang JDT di Stadium Bola Sepak Phoenix Hill pada 21 Oktober ini.