Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan melihat ruang besar yang diberi kepada Faisal Halim sebagai punca kekalahan Negeri Sembilan FC di tangan Selangor FC.
Pandangan itu dibuat beliau selepas aksi suku akhir pertama Piala FA antara kedua-dua pasukan itu di Paroi baru-baru ini.
Selangor meraih kemenangan 4-0 meskipun berdepan sorakan lebih 25,000 penyokong Sang Rusa. Faisal, Chrigor Moraes dan Zach Clough mencipta nama sebagai penjaring.
Razman melihat terlalu banyak ruang yang diberi pertahanan Negeri Sembilan kepada pemain sayap kebangsaan itu memudahkan Faisal untuk menjaringkan gol.
“Bagi saya, Selangor menggunakan kesempatan yang mana kita lihat keghairahan pemain-pemain Negeri Sembilan untuk melakukan serangan dan mencari gol penyamaan pada separuh masa kedua, dihukum dengan tiga gol awal pada separuh masa kedua.
“Kita lihat kesilapan-kesilapan pemain Negeri Sembilan membiarkan terlalu banyak ruang di belakang yang menyebabkan Faisal Halim sentiasa berseorangan dan mencari ruang untuk mendapatkan jaringan,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Faisal kini sudah menjaringkan tujuh gol dalam enam perlawanan berturut-turut. Rekod itu dijangka cuba dilebarkan beliau menjelang aksi ACL2 menentang Persib Bandung pada 23 Oktober ini.