Kelab China, Chengdu Rongcheng sedia membuat rombakan menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Hasrat itu dinyatakan jurulatih Chengdu dari Korea Selatan, Seo Jung-won apabila ditanya tentang perancangan menghadapi anak buah Xisco Munoz itu.
Jung-won melihat rombakan perlu dibuat memandangkan JDT merupakan pasukan yang kuat. Ini terbukti apabila pasukan itu mara ke pusingan 16 pasukan terbaik ACLE musim lalu.
Selain itu, Jung-won juga perlu mengambil kira kepadatan jadual perlawanan termasuk saingan Chinese Super League (CSL) yang berbaki beberapa perlawanan.
“JDT satu pasukan yang kuat. Mereka berjaya layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC musim lalu.
“Kualiti para pemain dan pilihan di bangku simpanan mereka juga sangat kuat. Selain itu, kita juga baru mengharungi perlawanna liga dua hari lalu.
“(Aksi menentang Meizhou Hakka) itu sangat meletihkan. Perlawanan esok juga dijangka sukar jadi kita mungkin akan ada perubahan dalam kesebelasan utama,” katanya seperti yang dilaporkan 163.com.
Chengdu dijangka beraksi tanpa kelibat pemain sayap China, Wei Shihao. Shihao dilaporkan masih belum cergas dan tidak disenaraikan dalam beberapa perlawanan sebelumnya.
Jung-won dijangka memilih sama ada Liao Rongxiang atau Li Moyu sebagai pengganti beliau di posisi sayap. Chengdu akan turun menentang JDT pada 21 Oktober ini.