Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz waspada ancaman keadaan padang dan perubahan cuaca di China bagi aksi ke-3 Liga Juara-Juara Asia 2025-2026 pada Selasa.
Setakat ini, Harimau Selatan telah mencatatkan satu keputusan seri dan satu kekalahan untuk dua aksi pertama saingan Liga Juara-Juara Asia musim ini.
JDT sedang memburu kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara Asia musim ini bagi mencerahkan peluang layak ke pusingan seterusnya dan memperbaiki rekod JDT sepanjang menyertai kejohanan berprestij ini.
Menurut Xisco Munoz, perlawanan menentang Chengdu Rongcheng bakal menjadi sama sukar seperti semua aksi dalam Liga Juara-Juara Asia musim ini dan JDT harus fokus untuk memulakan perlawanan dengan baik.
“Pertama sekali, esok adalah perlawanan yang sukar, seperti semua perlawanan yang kami mainkan dalam kejohanan ini. Penting untuk kami fokus kepada bagaimana kami perlu memulakan perlawanan.”
Tambah Xisco Munoz, JDT harus berhati-hati dengan keadaan padang dan cuaca yang bakal dialami ketika beraksi di halaman lawan.
Namun, padang pusat sukan gunung phoenix dijangka baik dengan kecanggihannya dan cuaca bakal menjadi sangat mendung mengikut ramalan di AccuWeather.
“Kami juga sedang melihat keadaan padang sekarang dan cuaca jadi kami perlu berhati-hati dengan situasi itu,” kata Xisco Munoz ketika sidang media sebelum perlawanan bertemu Chengdu Rongcheng pada Isnin.
JDT bakal menentang pasukan Chengdu Rongcheng dalam aksi ke-3 Liga Juara-Juara Asia di pusat sukan gunung phoenix pada petang Selasa.