Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram dilaporkan akan menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung yang ditinggalkan oleh Datuk Noor Azman Rahman.
Jumaat lalu, FAM telah mengadakan satu sesi sidang media tergempar bagi membicarakan mengenai isu yang melanda ketika ini membabitkan 7 pemain warisan Malaysia dan FIFA.
Proses rayuan telah pun dikemukakan oleh FAM kepada FIFA buat masa ini dengan siasatan lanjut sedang diadakan yang membuatkan Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman digantung tugas.
Perkara ini disahkan oleh Datuk S. Sivasundaram Jumaat lalu dengan memaklumkan bahawa penggantungan ke atas Noor Azman Rahman dijatuhkan untuk tujuan siasatan oleh pihak jawatankuasa yang dilantik.
”Setiausaha Agung FAM digantung tugas kuat kuasa hari ini untuk membolehkan satu jawatankuasa pentadbiran beserta tadbir urus bebas melakukan siasatan,” umum beliau secara ringkas dalam sidang media itu.
Kini, menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, peranan Setiausaha Agung FAM yang dijalankan oleh Datuk Noor Azman difahamkan sebelum ini akan diambil alih oleh Timbalan Presiden itu.
”Timbalan Presiden FAM Datuk Sivasundaram difahamkan menjalankan tugas Setiausaha Agung FAM, menggantikan Datuk Noor Azman Rahman yang digantung tugas,” lapor Zulhelmi Zainal Azam.