5 Fakta Di Sebalik Kejayaan JDT Atasi Chengdu Rongcheng
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) merakamkan kemenangan yang cukup bermakna ke atas Chengdu Rongcheng dalam aksi AFC Champions League Elite (ACLE) pada Selasa.

Minggu perlawanan ke-3 ACLE menyaksikan JDT berhasil membawa pulang 3 mata pertama selepas menumpaskan wakil China, Chengdu Rongcheng dalam aksi penuh sengit pada Selasa.

Jaringan daripada Oscar Arribas di awal permainan dan gol Nacho Mendez di babak kedua memberikan kejayaan yang cukup bermakna kepada JDT dalam misi mara lebih jauh di edisi ACLE kali ini.

Di sebalik kemenangan manis 2-0 ini, 5 fakta menarik yang tercatat dalam lembaran rekod baik JDT bagi musim kali ini.

1- JDT tamatkan rentetan tanpa kemenangan dalam 4 aksi ACLE.

Keputusan yang dicapai di China ini menamatkan penantian 4 perlawanan tanpa kemenangan JDT dalam saingan ACLE selepas kali terakhir Harimau Selatan menang adalah ketika menewaskan Pohang Steelers 5-2 Februari lalu.

Semenjak itu, JDT terikat tanpa jaringan dan tumpas 0-1 di tangan Buriram dalam aksi pusingan 16 terakhir musim lalu selain membuka kempen kali ini dengan kekalahan 2-1 dan seri menentang Machida Zelvia.

2- Kemenangan pertama dalam sejarah JDT di bumi China.

JDT juga berhasil merakamkan kemenangan pertama dalam sejarah kelab di bumi China selepas gagal melakukan hal itu dalam 3 aksi terdahulu menentang Shandong Taishan serta Shanghai Port di negara itu.

Ketika itu, JDT tewas dua kali kepada Shandong Taishan pada musim 2019 dengan keputusan 2-1 dan sekali lagi tumpas 1-0 tahun lalu selain terikat seri 2-2 menentang Shanghai Port.

View this post on Instagram

A post shared by Luis Garcia (@luchogarcia14)

3- JDT kini tanpa tewas dalam 7 perlawanan terakhir

Rekod kebal tanpa tewas JDT juga terus berlanjutan kepada 7 perlawanan hasil kemenangan hebat 2-0 ke atas Chengdu Rongcheng ini dengan hanya sekali terikat seri dalam tempoh tersebut.

Kali terakhir JDT alami kekalahan adalah ketika menentang Buriram United dalam perlawanan pertama ACLE musim ini dengan hanya keputusan 2-1 meskipun wakil negara kuasai sebahagian besar aksi.

4- Nacho Mendez cetak gol pertama bersama JDT

Pada aksi menentang Chengdu Rongcheng ini juga, nama Nacho Mendez berjaya menjadi sebutan peminat dengan jaringan hebat yang berhasil dicetak untuk mengesahkan kemenangan buat JDT.

Gol pada minit ke-62 tersebut merupakan jaringan pertama buat bekas tonggak Sporting Gijon itu untuk skuad Harimau Selatan sejak tiba di JDT pada Julai lalu dan mencatatkan 14 penampilan setakat ini.

5- Kedudukan JDT melonjak dalam carta ACLE

Satu lagi kejayaan manis dilakar JDT adalah lonjakan dalam kedudukan carta ACLE Liga Timur dengan anak didik Xisco Munoz kini berada di tempat ke-5, kenaikan 5 anak tangga ketika ini.

JDT yang sudah pun mengumpul 4 mata berjaya memintas beberapa kelab pencabar lain seperti Chengdu Rongcheng, Buriram United dan Sanfrecce Hiroshima bagi selesa berada di kelompok 8 terbaik.

Selepas ini, JDT akan melayani kunjungan Shanghai Shenhua dalam perlawanan ACLE ke-4 di Stadium Sultan Ibrahim pada 5 November hadapan dengan misi memburu tempat terbaik ke pusingan kalah mati.