Gelagat Darwin Nunez dan Roberto Firmino bertegur sapa sebelum aksi ACLE antara Al-Hilal dan Al-Sadd membuatkan ramai peminat Liverpool sebak.
Video gelagat dua bekas penyerang Liverpool itu dimuat naik ke platform rasmi AFC baru-baru ini.
Nunez dan Firmino cukup dikenali kerana pernah menjadi tonggak utama The Reds meraih pelbagai kejuaraan termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL).
Meskipun Nunez dan Firmino masing-masing beraksi di Asia bersama Al-Hilal dan Al-Sadd, jalinan persahabatan yang terjalin dari Anfield terus kekal dalam ingatan.
Ini membuatkan seorang penyokong bernama Assil Ghrabi merasa tersentuh. “Saya rindukan kedua-duanya,” katanya di ruang komen.
Seorang lagi penyokong bernama Rogie_7431 pula melihat pertemuan mereka melambangkan slogan Liverpool, “You’re Never Walk Alone”.
Aksi ketiga Liga Barat ACLE itu menyaksikan Al-Hilal menang 3-1 ke atas Al-Sadd.
Al-Hilal menyumbat dua gol pada separuh masa pertama menerusi Yusuf Akcicek dan Kalidou Koulibaly. Firmino kemudiannya mengurangkan defisit pada minit ke-63.
Pemain tengah Serbia, Sergej Milinkovic-Savic memastikan kemenangan milik Al-Hilal dengan gol ketiga pada minit ke-81.
Keputusan ini menyaksikan Al-Hilal memintas juara bertahan, Al-Ahli sebagai pendahulu Liga Barat ACLE dengan sembilan mata.