Perubahan Positif Selangor Buat Persib Bandung Waspada
MakanBola
Selangor FC

Pengendali Persib Bandung, Bojan Hodak mengakui perubahan yang ditampilkan Selangor FC sejak kebelakangan ini bakal memberi cabaran kepada pasukannya.

Pandangan itu dibuat bekas jurulatih KL City FC itu apabila diminta mengulas status pasukan gergasi Lembah Klang itu bila bertemu Persib dalam aksi ketiga ACL2.

Sejak jurulatih interim, Christophe Gamel membimbing Selangor menggantikan Katsuhito Kinoshi, Merah Kuning menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Ini termasuk kemenangan 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA yang berlangsung baru-baru ini.

Hodak menyifatkan kehadiran Gamel memberi suntikan semangat baru kepada Selangor menjelang aksi ketiga Kumpulan G itu.

“Selangor salah satu pasukan besar di Malaysia dan mereka mula jadi lebih baik setelah menggantikan jurulatih. Mereka punya banyak pemain bagus dan sangat merbahaya di bahagian depan,” katanya seperti dilaporkan Detik.com.

Perubahan tersebut turut menyaksikan jentera serangan Selangor semakin kerap menjaringkan gol. Justeru, Hodak melihat benteng Persib perlu berada pada tahap terbaik jika ingin meraih kemenangan.

“(Selangor) terutama ketika menyerang, mereka sangat bagus dan mencetak banyak gol,” ujarnya.

Selangor berharap dapat meraih kemenangan pertama dalam ACL2 selepas tewas dua aksi sebelumnya. Persib pula berharap dapat menghambat Lion City Sailors (LCS) untuk gelaran pendahulu Kumpulan G.

Persib dan Selangor akan berentap di Stadium Gelora Bandung Lautan Api pada 23 Oktober ini.