Media Utama Indonesia Cadang Lawan Malaysia November Ini
MakanBola
TI/MNT

Malaysia disebut antara lawan yang boleh dicadangkan untuk berdepan Indonesia pada bulan November ini oleh salah satu media utama di sana.

Skuad Harimau Malaya melalui musim yang cukup cemerlang pada tahun 2025 ini selepas merekodkan 6 kemenangan dan satu keputusan seri dalam 7 aksi termasuklah dalam saingan Kelayakan Piala Asia.

Manakala Indonesia yang baru tersingkir dari Kelayakan Piala Dunia lalu perlu mencari lawan untuk aksi persahabatan bagi mengisi jendela antarabangsa FIFA yang bakal bermula pada 10 hingga 18 November.

Menurut CNN Indonesia, salah satu negara yang boleh dipilih untuk dijadikan lawan adalah Malaysia memandangkan skuad kebangsaan masih ada satu lagi slot untuk aksi persahabatan pada bulan November ini.

“Malaysia menjadi salah satu negara yang boleh diambil kira oleh pasukan kebangsaan Indonesia sebagai lawan kerana mereka masih belum mempunyai perlawanan,” cadang laman berita itu.

“Skuad bimbingan Peter Cklamovski itu hanya akan bertemu Nepal dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 pada 18 November 2025.”

Lantas, kedua-dua negara juga dicadangkan mengatur aksi persahabatan ini sebelum pertembungan Malaysia vs Nepal dengan mata dan kedudukan ranking FIFA akan jadi taruhan besar perlawanan ini nanti.

“Oleh itu, pasukan Indonesia dan Malaysia berkemungkinan boleh berunding untuk mengatur perlawanan persahabatan antara 10 hingga 14 November 2025.”

“Aksi ini juga boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan ranking FIFA Indonesia, yang berada di tangga ke-122 dunia, 2 anak tangga di belakang Malaysia yang menghuni kedudukan ke-119,” tulis CNN Indonesia.

Sehingga kini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenai lawan Harimau Malaya pada bulan November ini sebagai persiapan menghadapi Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia nanti.

Sekiranya aksi Malaysia vs Indonesia ini menjadi kenyataan, ini sudah pasti menjadi pertarungan yang dinanti oleh ramai penyokong selepas kali terakhir kedua-dua negara bertemu adalah pada tahun 2021.

Ketika itu, Indonesia memenangi aksi dengan keputusan 4-1 menerusi jaringan Pratama Arhan, Elkan Baggot serta Irfan Jaya tatkala Malaysia yang dilatih Tan Cheng Hoe meraih gol hasil ledakan R. Kogileswaran.