Strategi JDT Tuai Hasil
MakanBola
Johor Southern Tigers

Strategi ampuh yang direncanakan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) kini dilihat mula menuaikan hasil.

Skuad kendalian Xisco Munoz cemerlang merekodkan kemenangan pertama dalam kancah AFC Champions League Elite (ACLE)  berdepan kelab China, Chengdu Rongcheng dengan keputusan 2-0.

Pasukan Harimau Selatan yang merupakan wakil tunggal Malaysia pada pentas tertinggi Asia itu juga telah merakam satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan selepas tiga perlawanan setakat ini.

Kombinasi jentera serangan JDT pada musim ini menyaksikan penyerang baharu, Jairo Da Silva dan Arif Aiman Hanapi membentuk kombinasi luar biasa musim ini.

Pada aksi bertemu Chengdu, penyerang berusia 33 tahun ini merekodkan satu bantuan jaringan yang disempurnakan oleh Oscar Arribas pada minit ke-5.

Musim 2025-26 menyaksikan Jairo terlibat dalam lima jaringan bagi tiga perlawanan terakhir JDT yang mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus.

Pada musim ini, JDT menjadikan Arif Aiman sebagai pemain utama jentera serangan dengan Jairo dan penyerang berpengalaman, Bergson bersaing sengit selaku peledak utama pasukan.

Ujian berikutnya buat JDT pada pentas Asia adalah aksi menentang Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim pada 5 November 2025.