Selangor tumpas 2-0 kepada wakil Indonesia, Persib Bandung dalam aksi ke-3 ACL 2 di Stadium Gelora Bandung Lautan Api pada Khamis.
The Red Giants menurunkan Sikh Izhan di benteng terakhir dan Chrigor Moraes sebagai ayam tambatan pasukan manakala Faisal Halim menggalas lilitan kapten.
Sementara itu, Persib Bandung membariskan Teja Paku di bahagian penjaga gol dan Andrew Jung mengemudi jentera serangan.
Pasukan tuan rumah, Persib Bandung bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang Selangor namun percubaan tersebut tersasar.
Adam Alis berjaya memecahkan kebuntuan jaringan pertama seawal minit ke 29′ sekaligus menceriakan ribuan penyokong sendiri.
Selangor turut melakukan serangan menerusi Faisal Halim dan Chrigor Moraes namun ketangkasan penjaga gol, Teja Paku Alam harus diberi pujian.
Persib tampak bermain dengan baik apabila berjaya mengawal tekanan yang diberikan oleh pasukan pelawat, Selangor.
Perlawanan di separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada Persib Bandung.
Bersambung babak kedua perlawanan, Persib Bandung meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol seterusnya dan mematikan aksi dengan lebih cepat.
Andrew Jung menyudahkan sepakan penalti pada minit ke 66′ selepas pemain Selangor mengasari bintang Persib Bandung di kawasan kotak penalti sendiri.
Jaringan tersebut sekaligus memberikan kelebihan berganda buat kem pasukan tuan rumah julukan Pangeran Biru.
Selangor kelihatan sukar meledak gol saguhati apabila pertahanan Persib Bandung tampak kukuh mematahkan segala bentuk serangan.
Aksi tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Persib Bandung.
Ketika ini, Pangeran Biru berada di puncak liga kumpulan G dengan 7 mata. Sementara itu, Selangor di tangga terakhir 0 mata.