ACL2: “Selangor Tak Boleh Tewas Seperti Ini” – Faisal Halim
MakanBola
PBFC

Kapten Selangor FC, Faisal Halim ternyata kecewa dengan kekalahan 2-0 di tangan Persib Bandung dalam aksi AFC Champions League Two (ACL2) pada Khamis.

Perlawanan ke-3 kumpulan G menyaksikan Selangor terbang ke Indonesia untuk berdepan Persib Bandung membawa misi penting memburu kemenangan sulung dalam saingan ACL2 musim ini.

Hasrat itu bagaimanapun tidak kesampaian apabila Selangor terpaksa akur tewas di tangan Persib Bandung hasil jaringan Adam Alis dan Andrew Jung pada setiap babak permainan.

Faisal Halim yang ditemui setelah perlawanan tampak begitu kecewa dan menyifatkan Persib Bandung merupakan sebuah pasukan yang cukup kuat ditambah pula mereka bermain di tempat sendiri.

”Kami bermain di tempat lawan dan Persib Bandung juga pasukan yang bagus,” jelas Faisal Halim selepas aksi itu.

Tambah beliau lagi, persiapan rapi dilakukan untuk aksi kali ini namun kesilapan mudah memberikan lawan gol buatkan Faisal kecewa dan seakan tidak boleh menerima keputusan di Bandung itu.

”Kami dibolosi dengan dua jaringan yang senang menerusi serangan balas pantas dan satu sepakan penalti.”

“Bagi saya, kami berusaha keras untuk perlawanan ini dan kami (Selangor) tak boleh tewas seperti ini dan kami tidak boleh terima kekalahan ini,” kata Faisal Halim lagi.

Sungguhpun begitu, Faisal mahu rakan sepasukan segera bangkit serta belajar sesuatu daripada perlawanan di kota Bandung ini agar dapat lebih berusaha keras pada aksi-aksi mendatang.

”Tetapi untuk masa akan datang, kami perlu belajar sesuatu (dari perlawanan ini) serta kami harus bersatu dan mencuba lagi.”

Keputusan 2-0 ini meletakkan Selangor di tangga tercorot kumpulan G tanpa sebarang mata setelah 3 aksi manakala Persib Bandung kini selesa memimpin carta dengan 7 mata.

Perlawanan seterusnya bakal menyaksikan Selangor kembali ke Stadium MBPJ untuk melayani kunjungan Persib Bandung pada 6 November hadapan dan Lion City Sailors vs Bangkok United di Singapura pada hari yang sama.