ACL2: Bojan Hodak Anggap Persib Bandung Layak Menang
MakanBola
Persib Bandung

Pengendali Persib Bandung, Bojan Hodak menganggap pasukan itu layak meraih tiga mata selepas aksi ketiga Kumpulan G ACL2.

Persib terus gah menerajui Kumpulan G apabila menewaskan Selangor FC 2-0. Adam Alis dan Andrew Jung memastikan pasukan gergasi Lembah Klang itu hampa di Bandung.

Apabila diminta mengulas tentang perlawanan tersebut, Hodak melihat Persib layak meraih kemenangan. Ini kerana pada hematnya, Maung Bandung beraksi cemerlang dan banyak menguasai perlawanan.

“Kami layak menang. Saya fikir kami bermain lebih baik hari ini. Kami bermain sangat baik dalam 30 minit pertama. Setelah kami mencetak gol, mungkin lawan mencuba untuk mengejar,” katanya.

Hodak mengakui permulaan kurang baik pada separuh masa kedua memberi ruang kepada Selangor untuk cuba memburu gol penyamaan.

Situasi ini mendorong bekas jurulatih KL City FC itu memasukkan Beckham Putra dan Robi Darwis untuk kembali menstabilkan jentera pasukannya.

“Kami lebih fokus untuk bertahan dan mereka tidak memiliki peluang yang berbahaya. Babak kedua kami tidak bermula dengan baik, kami memberi mereka satu atau dua peluang,” ujarnya.

Keputusan ini menyaksikan Persib menerajui Kumpulan G dengan tujuh mata. Juara liga Indonesia itu diekori Bangkok United dengan enam mata selepas menewaskan Lion City Sailors (LCS) 1-0.

Persib akan kembali berentap dengan Selangor buat kali kedua dalam aksi timbal balik Kumpulan G pada 6 November ini.