Tengku Muda Pahang, YAM Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah, menzahirkan penghargaan dan kekaguman terhadap visi serta usaha berterusan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, dalam memperkasa bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi.
Menurut baginda, pendekatan kepimpinan Tunku Ismail yang berpaksikan profesionalisme dan pengurusan moden bukan sahaja membuahkan kejayaan buat Johor Darul Ta’zim FC (JDT), tetapi turut menjadi inspirasi dalam memperkukuhkan struktur pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
“Saya amat tertarik dengan visi dan usaha berterusan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail dalam mempertingkatkan mutu pasukan kebangsaan serta landskap bola sepak negara. Di bawah kepimpinan baginda, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan demi kemajuan bola sepak Malaysia,” titah Tengku Abdul Rahman.
Terinspirasi oleh semangat itu, baginda turut merasakan tanggungjawab untuk menyumbang kepada kemajuan skuad kebangsaan, khususnya dalam aspek pemain warisan dan naturalisasi.
Baginda menjelaskan bahawa sejak penghujung 2024, beberapa ejen pemain telah memperkenalkan calon pemain warisan kepada baginda, dan maklumat berkenaan telah dipanjangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk penilaian lanjut.
“Saya hanya memainkan peranan membantu memperkenalkan calon pemain kepada FAM untuk dinilai dengan lebih terperinci. Tujuannya mudah untuk melihat lebih ramai bakat berdarah Malaysia di luar negara menyumbang kepada tanah air,” titah baginda lagi.
Menariknya, antara pemain yang disyorkan termasuk tujuh pemain warisan yang kini sedang dalam siasatan oleh FIFA — namun baginda menegaskan bahawa kesemua pemain berkenaan telah mendapat kewarganegaraan Malaysia secara sah di bawah undang-undang negara.
“Cadangan tersebut dibuat dengan niat murni. Semua proses kewarganegaraan pemain itu dibuat secara sah dan teratur oleh kerajaan Malaysia,” jelasnya.
Tengku Abdul Rahman turut menambah bahawa usaha melibatkan pemain naturalisasi bukan sesuatu yang baharu dalam bola sepak negara, memetik contoh pasukan Pahang yang pernah memperkenalkan pemain seperti Mohamadou Sumareh, Sergio Aguero dan Lee Tuck sebelum ini.
Baginda percaya bahawa penglibatan pemain warisan dan naturalisasi boleh memberi nilai tambah besar kepada skuad kebangsaan, baik dari segi kualiti mahupun daya saing di pentas antarabangsa.
“Saya sentiasa menyokong sebarang usaha yang dapat meningkatkan standard bola sepak Malaysia. Ini bukan tentang individu, tetapi tentang semangat untuk melihat Harimau Malaya melangkah lebih jauh,” titah baginda menutup kenyataan itu.