Moyang Orang Malaysia, Mats Deijl Jaringkan Gol Penting Tewaskan Aston Villa
MakanBola
Go Ahead Eagles

Pemain pertahanan berdarah Malaysia, Mats Deijl menjadi tumpuan apabila membantu Go Ahead Eagles menewaskan Aston Villa dalam aksi terbaru Liga Europa.

Kelebihan dilihat memihak kepada anak buah Unai Emery selaku pasukan pilihan. Ini kerana pasukan itu memiliki ramai pemain hebat termasuk pemenang Piala Dunia, Emiliano Martinez.

Meskipun begitu, Go Ahead Eagles memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. Pasukan itu turut mendapat sokongan hampir 10,000 penyokong untuk aksi berkenaan.

Pada awalnya, The Villains mendahului seawal minit keempat menerusi bekas pemain sayap Nice, Evann Guessand.

Pemain tengah Belgium, Mathis Suray kemudiannya menceriakan penyokong Go Ahead Eagles dengan gol penyamaan pada minit ke-42.

Selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat separuh masa, Aston Villa cuba mencari gol kemenangan pada separuh masa kedua.

Malangnya, hajat anak buah Emery terbantut apabila Deijl menewaskan Martinez untuk gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-61. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Villa dan Go Ahead Eagles masing-masing menduduki tangga ke-10 dan 12 meskipun berkongsi enam mata.

Persembahan Deijl turut diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan mengatasi Suray. Kedua-duanya berkongsi markah 8.0.

Untuk rekod, Deijl memiliki darah Malaysia menerusi moyang beliau. Walau bagaimanapun, beliau tidak layak mewakili skuad negara kerana itu tidak menepati peraturan FIFA.

Ini kerana moyang tidak termasuk dalam spesifikasi Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA.

Artikel ini merujuk kepada pemain naturalisasi termasuk pemain yang mewakili negara kelahiran datuk atau nenek mereka.