Terengganu Panggil Badrul Afzan Beri Penjelasan
MakanBola
Terengganu FC

Prestasi tidak menentu Terengganu FC sejak kebelakangan ini mengundang resah dalam kalangan penyokong pasukan itu.

Situasi ini mendorong pengurusan Peteh memanggil jurulatih pasukan, Badrul Afzan Razali untuk memberi penjelasan berhubung situasi tersebut.

“Kekalahan terbaru tempoh hari sudah tentu bukan sesuatu yang sengaja diinginkan oleh mana-mana pihak sama ada dari kalangan pemain, barisan kejurulatihan mahupun pihak pengurusan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

“Antara langkah yang telah diambil oleh pihak pengurusan bersama Jawatankuasa Teknikal & Pemilihan ialah memanggil Ketua Jurulatih bagi memberikan laporan dan penilaian semula prestasi bagi mengenal pasti kelemahan menjelang aksi timbal balik Piala FA yang akan diadakan di Kuching Selasa ini.”

Prestasi tidak konsisten Terengganu kembali menjadi bualan penyokong apabila pasukan itu tewas 4-1 kepada Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA.

Meskipun beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dengan sokongan lebih 10,000 penyokong, Peteh gagal meraih kemenangan.

Ronald Ngah Wanja, Danial Asri dan gol sendiri Yann Mabella memastikan Kuching City memiliki kelebihan di Kuching. Terengganu meraih gol saguhati menerusi penalti Mabella dalam aksi sama.

Susulan itu, Badrul bakal membuat rombakan menjelang aksi kedua suku akhir Piala FA di Kuching pada 28 Oktober.

Selain itu, pengurusan Peteh turut akan menilai prestasi pasukan dalam tiga aksi berikutnya sebelum mengambil sebarang tindakan drastik.

Selain aksi suku akhir Piala FA menentang Kuching City, Terengganu akan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 31 Oktober. Ini disusuli aksi menentang Negeri Sembilan FC pada 22 November.