Masalah kewangan yang membelenggu kelab terkemuka England, Sheffield Wednesday semakin meruncing.
BBC Sport melaporkan kelab itu kini diletakkan di bawah pentadbiran sementara pentadbir kewangan. Ini selepas kelab itu kini berhutang £1 juta (RM5.6 juta) dengan Jabatan Hasil & Kastam (HMRC).
Julian Pitts, Kris Wigfield dan Paul Stanley dari firma Begbies Traynor dilantik sebagai pentadbir bersama kelab itu.
Lantaran itu, Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) mengenakan potongan mata sebanyak 12 mata ke kelab yang berpangkalan di Yorkshire itu.
Ini mengakibatkan Wednesday kini menduduki tangga tercorot Liga Kejohanan dengan -6 mata. Pentadbir kelab telah bertemu dengan barisan staf dan pemain selepas perintah pentadbiran sementara dikenakan.
Pihak pentadbir turut memberi jaminan kepada EFL bahawa kelab itu bukan saja akan memenuhi semua perlawanan mereka. Malah, pihak pentadbir kini aktif mencari pembeli untuk menyelamatkan The Owls.
Langkah ini sekaligus menamatkan era jutawan Thailand, Dejphon Chansiri sebagai pemilik kelab selama sedekad.
Sejak awal musim 2025/26, Wednesday dibelenggu masalah kewangan termasuk lewat membayar gaji. Kelibat Chansiri juga tidak kelihatan sepanjang kelab itu berdepan kemelut buruk itu.
Peminat Liga Malaysia (Liga M) mengenali Wednesday sebagai bekas kelab Fernando Forestieri dan jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz.
Forestieri beraksi untuk The Owls dari 2015 hingga 2020. Munoz pula pernah membimbing kelab itu pada 2023.