PFAM & FIFPRO Bekerjasama Bantu Bekas Pemain PT Athletic
MakanBola
PFA Malaysia

PFAM dan FIFPRO bekerjasama membantu seorang pemain import PT Athletic yang terkandas di Malaysia selama 10 bulan.

PFAM menerima maklumat daripada FIFPRO berhubung kes pemain sayap Mauritania itu. Wade pernah mewarnai saingan Liga A1 Semi-Pro bersama PT Athletic.

Walau bagaimanapun, masalah dalaman yang membelenggu kelab itu mengakibatkan pemain Mauritania itu tidak dapat memperbaharui pas lawatan dan pasportnya.

Sehubungan dengan itu, PFAM dan FIFPRO bekerjasama membantu Wade pulang ke negara asalnya itu.

“Bertindak atas makluman tersebut, PFAM dan FIFPRO telah bekerjasama rapat bagi membantu mengatur perjalanan pulang beliau ke negara asal,” kata PFAM dalam satu kenyataan.

“PFAM turut bekerjasama dengan Kedutaan Mauritania di Indonesia untuk mendapatkan Dokumen Perjalanan Kecemasan (DPK) bagi membolehkan proses kepulangan dilaksanakan.

“Selain itu, PFAM juga membantu pemain berkenaan memperoleh Pas Istimewa daripada Jabatan Imigresen Malaysia menerusi Program Repatriasi Migran yang merupakan satu inisiatif bagi memudahkan penghantaran pulang warga asing secara teratur, selamat dan bermaruah.”

PFAM turut memaklumkan badan itu sentiasa komited melindungi kebajikan dan hak semua pemain bola sepak profesional di Malaysia tanpa mengira warganegara.