4 Wakil Malaysia Sahkan Tiket Ke BWF World Tour Finals
UltraSukan
Olympic Malaysia

Empat wakil Malaysia mengesahkan kelayakan ke saingan BWF World Tour Finals (WTF) 2025 di Hangzhou, China.

Empat wakil tersebut ialah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M.Thinaah, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah dan Soon Huat-Shevon layak selepas kedudukan mereka dalam senarai lapan pemain teratas BWF World Tour selamat sehingga tamat tempoh kelayakan.

Tang Jie-Ee Wei pula layak secara automatik bersesuaian dengan status mereka sebagai juara dunia dalam acara beregu campuran.

Kejayaan itu dilakar dengan menewaskan wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di pentas final BWF World Championships pada Ogos lalu.

Aaron-Wooi Yik merupakan wakil negara paling berpengalaman untuk saingan WTF. Ini kerana ini penampilan keenam mereka dalam kejohanan tersebut.

Meskipun begitu, koresponden Shuttlehard, Akem Asyraf memaklumkan mereka masih lagi belum berjaya melepasi peringkat kumpulan.

Justeru, kejohanan ini dilihat platform terbaik untuk Aaron-Wooi Yik menamatkan rekod buruk tersebut.

Sejak WTF diperkenalkan sebagai pengganti saingan BWF Super Series Finals pada 2018, belum ada wakil Malaysia yang merasa nikmat bergelar juara.

Edisi 2024 menyaksikan kem negara hampir menamatkan kemarau tersebut menerusi gandingan Tang Jie-Ee Wei dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Walau bagaimanapun, kedua-dua beregu terpaksa akur dengan lawan masing-masing di pentas final WTF.