Kembali Ke FAM? Ini Respon Tunku Ismail
MakanBola
Johor Southern Tigers

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor tidak berminat kembali menggalas peranan sebagai Presiden FAM.

Hal ini dinyatakan baginda apabila diminta mengulas tentang situasi yang menyelubungi jawatan presiden badan induk itu.

Jawatan Presiden FAM kosong apabila penyandangnya, Datuk Mohd Joehari Ayub meletak jawatan pada akhir Ogos lalu.

Susulan itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi menggalas peranan sebagai pemangku presiden sehingga Kongres FAM seterusnya pada tahun hadapan.

Apabila ditanya sama ada berminat untuk kembali memikul tugas berkenaan, Tunku Ismail memaklumkan baginda tidak berminat mengisi jawatan tersebut.

Ini kerana pada hemat baginda, sesiapa yang menyandang jawatan Presiden FAM perlu memberi tumpuan sepenuh masa kepada badan induk itu.

“FAM sudah memiliki presiden. Saya pernah berada di situ dan saya rasa dari segi masa, saya tak boleh beri tumpuan penuh kerana saya juga memikul tugas rasmi lain.

“Justeru, kita percaya orang yang lebih berkelayakan boleh menguruskan FAM dengan lebih baik. Seorang presiden kena beri tumpuan sepenuh masa,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tunku Ismail turut memuji Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin kerana menjalankan tugas dengan baik semasa memikul jawatan itu selama dua penggal.

“Saya fikir pada ketika itu, Datuk Hamidin melakukan satu tugas yang bagus kerana beliau sentiasa ada. Tak kira sama ada untuk pasukan remaja atau pasukan senior.

“Saya ada banyak tanggungjawab lain, jadi saya tak boleh berada di situ. Di samping itu, saya tak berminat untuk kembali (sebagai Presiden FAM),” ujarnya.

Tunku Ismail pernah memikul tugas sebagai Presiden FAM dari tahun 2017 hingga 2018.