DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor menempelak sesetengah pihak tak bertanggungjawab yang dengan mudah menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Teguran baginda ini hadir ketika sebuah sesi sidang media yang berlangsung pada Sabtu untuk membincangkan hala tuju bola sepak Malaysia termasuklah perkembangan terkini isu FIFA.
Baginda yang menjadi individu penting kepada revolusi bola sepak negara memberi bayangan akan terus berusaha bagi meningkatkan skuad kebangsaan serta industri bola sepak tanah air.
Lantas, Tunku Ismail mengambil kesempatan membuka kisah berkenaan sesetengah kelab yang diberikan bajet yang besar oleh pihak kerajaan bagi menaiktaraf kemudahan padang di stadium.
”Apabila kita ada mesyuarat dengan Malaysian Football League (MFL) dan memberi satu solusi di mana KBS memberi satu bajet untuk semua pasukan bertanding ada padang yang canggih dan bagus dengan saluran air.”
Bagaimanapun, ada juga pihak yang tak bertanggungjawab menggunakan peruntukan itu untuk tujuan lain dan memilih untuk menyalahkan FAM sebagai badan induk bola sepak negara.
”Ada juga kelab yang ambil duit itu untuk betulkan bilik air dan bukannya betulkan padang, adakah itu kegagalan FAM?” soal baginda.
Sikap tersebut ditegur oleh Tunku Ismail yang hairan melihat segelintir pihak ini tidak dipersalahkan kerana menuding jari ke arah FAM dianggap lebih mudah berbanding mengakui kesalahan sendiri.
”Senang bagi kita tunding jari atau salahkan FAM, oh punca bola sepak Malaysia gagal ini kerana FAM tetapi sedangkan yang bertanding dan bertanggungjawab (ini) tak ada orang salahkan mereka? Atau mereka tak salahkan diri sendiri?
”Ini kerana salahkan FAM adalah perkara paling senang untuk menutup kegagalan sendiri ataupun masing-masing!” sindir Tunku Ismail kepada pihak tidak bertanggungjawab.
“Sedangkan awak yang salahguna dana, tak bayar gaji pemain dan tak belanjakan duit untuk fasiliti bola sepak.”
Tunku Ismail lantang menyuarakan pandangan ketika tampil di hadapan media untuk memberikan penjelasan berkenaan isu 7 pemain warisan yang kini sedang digantung oleh FIFA.