Perjuangan Bola Sepak Malaysia Tak Berhenti Di Sini
MakanBola
Malaysia NT

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menyifatkan isu hukuman FIFA ke atas FAM dan tujuh pemain negara tidak akan menghentikan perjuangan bola sepak Malaysia.

Perkara ini ditegaskan baginda apabila diminta mengulas sama ada revolusi bola sepak negara menemui kegagalan atau sebaliknya.

Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menyifatkan isu ini sebagai rintangan kecil buat skuad negara.

Justeru, baginda melihat ini tidak akan menghalang perjuangan bola sepak negara daripada terus maju terutama dalam konteks skuad kebangsaan.

“Ini bukan kegagalan, ini pandangan saya secara peribadi. Ini cuma rintangan kecil di mana kita perlu lawan, kita tiada pilihan.

“Takkan kita nak serah kalah, takkan kita nak tunduk, berani kerana benar. Kita ada dokumen yang sah. Walaupun dalam era teknikal, FIFA boleh membuat satu keputusan sebab itu di bawah kuasa dan SOP dia.

“Kita kena lawan walaupun kena lawan seberapa lama, kita kena lawan juga,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tunku Ismail turut menyifatkan perjuangan untuk membantu tujuh pemain negara yang digantung perlu dibuat kerana mereka telah berjuang demi Malaysia di atas padang.

Justeru, pada hematnya, pada masa beginilah, mereka perlu dibantu agar dapat membantu mereka kembali beraksi.

“Tak adil juga kita tinggalkan pemain-pemain macam begitu saja. Kerana kita boleh lihat dengan mata kita sendiri, semasa mereka mewakili negara, komitmen dan semangat mereka memberi kita mata.

“Bagi saya, jika mereka tentera kita, kita tidak sepatutnya tinggalkan mereka di belakang. Kita perlu sokong mereka, itu pandangan peribadi saya,” ujarnya.

Status rayuan FAM berhubung hukuman yang diterima badan induk itu dan tujuh pemain negara bakal diketahui pada 30 Oktober ini.