Anwar Ibrahim Bahas 3 Agenda Utama Bersama Presiden FIFA
MakanBola
Anwar Ibrahim

Tiga perkara menjadi agenda perbincangan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Ini selepas beliau menerima kunjungan hormat delegasi FIFA diketuai Infantino di Putrajaya hari ini.

Antara perkara yang dibincangkan dua figura itu ialah pengukuhan ekosistem bola sepak Malaysia dan ASEAN dan Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA.

“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha memperkukuh ekosistem bola sepak di Malaysia dan rantau ASEAN, termasuk melalui projek FIFA Arena yang bakal menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai bakat tempatan dan peningkatan prasarana bola sepak negara.

“Kami turut menyentuh mengenai Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA yang merupakan satu langkah strategik membuka lembaran baharu ke arah menjadikan rantau ini sebagai kuasa bola sepak yang disegani di peringkat global,” katanya.

Selain itu, Anwar dan Infantino turut membincangkan kerjasama strategik dengan tujuan meningkatkan pembangunan sukan bola sepak di Malaysia.

“Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak melalui peningkatan kemudahan, latihan berstruktur serta kerjasama strategik bersama FIFA sebagai langkah penting untuk melahirkan generasi baharu pemain berbakat, memperkukuh ekosistem sukan profesional dan mengangkat nama negara sebagai hab pembangunan bola sepak serantau,” ujarnya.

Lawatan Infantino turut disertai Presiden Kehormat FAM dan Ahli Majlis FIFA, Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

Antara figura lain yang menyertai pertemuan tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Infantino mengadakan lawatan ke Malaysia sebagai saksi upacara pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA,

Selain itu, beliau juga dilaporkan akan meninjau projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC). Projek tersebut direalisasikan menerusi dana FIFA dan kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).