Bekas Pemain Arsenal, Josh Robinson Sahkan Keturunan Malaysia
MakanBola
Arsenal FC

Bekas pemain muda Arsenal, Josh Robinson tampil memberi penjelasan mengenai darah keturunan Malaysia yang dimiliki beliau.

Bek kanan yang bakal berusia 21 tahun itu merupakan bekas tonggak akademi Arsenal sejak 2021 serta pernah menyertai skuad utama kendalian Mikel Arteta dalam aksi UCL 2024-2025.

Ini selepas Josh Robinson beraksi cukup cemerlang musim lalu untuk skuad Arsenal B-21 dalam saingan EPL 2 dengan satu gol dan satu bantuan jaringan dalam 10 penampilan.

Dalam satu sesi temu bual bersama Arsenal FC tahun lalu, Josh Robinson berkongsi cerita mengenai latar belakang keluarga beliau yang terdiri daripada Jamaica, Malaysia dan Inggeris

Robinson menjelaskan bahawa ayahnya berasal dari negara Jamaica manakala ibu beliau pula memiliki darah campuran Malaysia dan Inggeris selain turut membesar di kota London.

“Saya membesar di kawasan Leyton di timur London. Bapa saya berasal dari Jamaica manakala ibu saya pula berdarah Malaysia dan Inggeris,” cerita Josh Robinson dalam satu kenyataan di laman sesawang Arsenal FC.

Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berkaitan status kerakyatan Malaysia yang dimiliki Josh Robinson dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan semakan, Robinson membawa haluan baharu dengan berhijrah ke Wigan Athletic pada bulan Januari lalu sebelum bergelar ejen bebas sejak awal September 2025 ini.