Rahman Daud ‘On Fire’, Peneraju Senarai Penjaring Liga A1
MakanBola
Selangor FC

Penyerang Selangor FC II, Abdul Rahman Daud terus mempamerkan bisa sebagai penjaring terbanyak Liga A1 Semi-Pro setakat ini.

Hal ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi selepas melihat statistik terbaru penyerang muda Selangor itu.

“Penyerang Selangor FC II, Abdul Rahman Daud memimpin carta penjaring terbanyak saingan Liga A1 Semi Pro 2025/2026 ketika ini dengan 10 gol selepas sembilan perlawanan,” katanya di X.

Hal ini dicapai apabila beliau meledakkan hatrik buat Selangor II dalam aksi menentang Machan FC baru-baru ini.

Selain Rahman, Nabil Qayyum Zainuddin turut meledakkan hatrik dalam perlawanan sama. Rohisham Haiqal Hashim pula mencetak dua gol buat skuad muda Merah Kuning.

Nabil Qayyum mengekori Abdul Rahman di belakang dengan lapan gol. Muhammad Hadi Mohamad dan Said Khamis pula masing-masing meledakkan tujuh gol untuk Armed Forces FC dan Imigresen FC II.

Apa yang menarik ialah Abdul Rahman mengatasi nama beberapa pemain import yang beraksi dalam liga sama.

Ini termasuk pemenang Kasut Emas musim lalu, Thankgod Michael Ogwuche dan pemain sayap Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Emmanuel Mbarga.

Kemajuan yang ditunjukkan Abdul Rahman dijangka terus dipantau jurulatih interim Selangor, Christophe Gamel.

Tidak mustahil sekiranya penyerang berusia 20 tahun itu terus menunjukkan kemajuan signifikan, beliau berpeluang beraksi kerap dalam skuad utama Selangor pada masa akan datang.