Real Madrid terus menjarakkan kedudukan di takhta teratas carta kedudukan LaLiga selepas menumbangkan pencabar terdekat dan musuh tradisi, FC Barcelona dalam pertemuan El-Clasico.
Kemenangan bergaya 2-1 berjaya dicatat oleh Real Madrid dalam aksi El-Clasico mencuri tumpuan ini dengan pemain England, Jude Bellingham muncul wira untuk kecewakan Barcelona.
Trio Kylian Mbappe, Vinicius Jr dan Jude Bellingham menjadi taruhan Real Madrid bagi merobek gawang lawan sementara kesebelasan utama Barcelona diketuai oleh Frenkie de Jong.
Jaringan pembukaan berjaya dihasilkan oleh Kylian Mbappe ketika minit ke-22 selepas menerima umpanan menarik dari Jude Bellingham sebelum menewaskan Wojciech Szczesny.
Pelawat enggan mudah mengalah dan kembali menyamakan kedudukan 1-1 di minit ke-38 selepas Fermin Lopez dengan mudah menampan hantaran Marcus Rashford dari sebelah kiri.
Keceriaan tersebut tidak bertahan lama apabila giliran Jude Bellingham pula mencetak jaringan kedua buat Real Madrid selang 5 minit kemudian untuk tuan rumah miliki kelebihan satu gol.
Kylian Mbappe berpeluang menambah kelebihan untuk The Galacticos di awal babak yang kedua akan tetapi tendangan penalti bintang Perancis itu ditepis oleh Wojciech Szczesny.
Aksi di Santiago Bernabue berakhir dengan keputusan 2-1 memihak Real Madrid.
Kemenangan epik ini meletakkan Real Madrid terus kukuh di kedudukan teratas LaLiga dengan mengutip 27 mata, 5 mata di atas Barcelona yang menghuni tangga kedua ketika ini.