Bekas Ketua Hakim Negara Ketuai Siasatan Isu 7 Pemain Warisan Malaysia
MakanBola
FA MALAYSIA

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, sebagai pengerusi jawatankuasa bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pelantikan ini menandakan komitmen tinggi FAM untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus, adil dan bebas daripada sebarang pengaruh dalaman, sekali gus memulihkan keyakinan semua pihak terhadap integriti pengurusan bola sepak negara.Jawatankuasa Bebas Tanpa Penglibatan FAM.

Menurut kenyataan terdahulu oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram pada sidang media 17 Oktober, jawatankuasa ini dibentuk tanpa membabitkan mana-mana individu daripada FAM.

Langkah ini diambil bagi memastikan proses penyiasatan terhadap isu dokumentasi pemain warisan dapat dijalankan dengan penuh profesionalisme dan ketelusan.

Tun Md Raus diberi mandat sepenuhnya untuk memilih ahli jawatankuasa bebas itu sendiri, terdiri daripada tokoh-tokoh berkredibiliti dalam bidang perundangan, pentadbiran dan integriti sukan.Tun Md Raus merupakan figura terkemuka dalam bidang kehakiman dengan pengalaman lebih empat dekad.

Beliau memulakan perkhidmatan dalam badan kehakiman negara pada tahun 1976 dan pernah memegang jawatan penting seperti Majistret dan Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya, Penasihat Undang-undang Negeri Melaka dan Kelantan.

Selain itu, Penasihat undang-undang di beberapa kementerian utama termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman sebelum dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996. Kerjaya beliau mencapai kemuncak apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada tahun 2017, jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, Tun Md Raus turut diiktiraf melalui pelantikan sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf. Beliau juga merupakan ahli aktif dalam Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (CACJ), di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kerjasama perundangan serantau.

FAM menyatakan keyakinan penuh bahawa pengalaman luas serta kredibiliti Tun Md Raus akan memberi nilai tambah yang signifikan dalam proses penyiasatan ini.

FAM berharap jawatankuasa bebas ini dapat menjalankan tugas secara menyeluruh, meneliti semua aspek berkaitan, dan seterusnya mengemukakan rumusan serta cadangan yang tuntas demi kepentingan bola sepak negara.

Pelantikan ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memastikan isu penggantungan pemain warisan disiasat secara objektif, sekali gus menjamin keadilan bukan sahaja kepada pemain yang terlibat, tetapi juga kepada masa depan skuad Harimau Malaya.