Terengganu FC terus memantapkan aspek komersial pasukan itu dengan menjalin kerjasama dengan jenama sukan terkenal dari Indonesia, Mills.
Kerjasama ini diumumkan pengurusan Peteh menerusi satu hantaran video di platform rasmi kelab berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed melihat kerjasama ini sebagai bukti jenama dan prestasi pasukan itu mampu menarik jenama antarabangsa.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Mills, sebuah jenama yang diyakini oleh atlet di seluruh dunia. Ini sejajar dengan visi kami untuk memberi fasiliti dan kelengkapan terbaik kepada pemain demi
prestasi optimum.
“Kehadiran Mills ke dalam keluarga Terengganu FC juga membuktikan jenama TFC itu sendiri mempunyai kekuatan yang mampu menarik perhatian jenama antarabangsa untuk datang menjalinkan kerjasama.
“Kami di TFC tidak hanya memberikan tumpuan kepada skuad utama sahaja tetapi juga kepada skuad
pembangunan dan kerjasama ini sudah pasti membantu kesemua pasukan kami mencipta kejayaan yang lebih baik di dalam padang,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan Sheikh Farouk turut dipersetujui Pengarah Pemasaran Mills, Stevendy Tjen. Stevendy melihat kerjasama ini dapat membantu Mills menembusi lebih banyak pasaran di peringkat antarabangsa.
“Saya mewakili pengurusan Mills menyambut baik kerjasama antara kami dan Terengganu FC serta berharap kerjasama ini dapat berkembang menjadi lebih luas lagi di masa akan datang.
“Dengan kualiti dan kekuatan R&D yang dimiliki oleh Mills, kami berharap produk yang ditawarkan dapat
membawa impak positif buat industri sukan terutamanya bola sepak di Malaysia.
“Selain itu, kerjasama ini seiring dengan cita-cita Mills untuk memasuki pasaran global di mana
sebelum ini, kami telah memasuki pasaran Eropah menerusi penajaan kelab Tranmere Rovers dan F.C.V Dender,” ujarnya.
Kerjasama ini menyaksikan Mills menjadi kasut sukan rasmi Peteh untuk musim 2025/26. Mills bukan asing kerana merupakan pembuat jersi rasmi skuad kebangsaan Indonesia.
Jersi yang dihasilkan Mills menjadi sebahagian daripada cerita kejayaan pasukan itu termasuk Piala Asia 2023 dan mara ke pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026.