FIFA ASEAN Cup Platform Malaysia Lahirkan Pemain Berkualiti
MakanBola
Malaysia NT

Pengenalan FIFA ASEAN Cup dilihat platform terbaik buat Malaysia melahirkan lebih ramai pemain berkualiti di peringkat antarabangsa.

Pandangan ini disuarakan Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi apabila diminta mengulas kejohanan baru yang diumumkan Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Infantino mengumumkan pelancaran FIFA ASEAN Cup selaras dengan pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kejohanan ini bakal disertai 11 negara ASEAN dan akan diadakan dalam kalendar antarabangsa FIFA.

Apabila ditanya tentang kejohanan baharu tersebut, Yusoff percaya kejohanan ini dilihat sesuatu yang baik buat semua negara ASEAN terutama Malaysia.

Ini kerana FIFA ASEAN Cup dilihat medan terbaik melahirkan lebih ramai pemain berkualiti untuk membawa nama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

“Apabila FIFA ASEAN Cup ini berlangsung, sudah tentu kita akan mendapat aksi-aksi berintensiti tinggi. Ini dapat memberi peluang kepada ramai pemain menyertai pertandingan ini.

“Dahulu kalau kejohanan di peringkat ASEAN ini hanya AFF Cup (ASEAN Championship). Sekarang ini kalau ini berlaku, kita ada dua platform untuk pemain-pemain beraksi di peringkat ASEAN.

“Jadi, saya rasa ini satu peluang buat negara melahirkan lebih ramai pemain yang berkeupayaan (tinggi),” katanya kepada Nadi Arena.

Selain memeterai Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA, Infantino turut berkesempatan mengadakan sesi perbincangan dengan Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga sempat mengadakan pertemuan dengan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ketika berada di Malaysia.