Bekas Penjaga Gol Penang Dilantik Pengarah Sukan Kelab Scotland
MakanBola
STL City SC

Bekas penjaga gol Penang FA dari Jerman, Lutz Pfannenstiel dilantik sebagai pengarah sukan kelab Scotland, Aberdeen.

Pelantikan figura berusia 52 tahun itu diumumkan pengurusan Aberdeen dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.

“Kelab Bola Sepak Aberdeen melantik Lutz Pfannenstiel sebagai pengarah sukan baharu. Figura berpengalaman dari Jerman itu akan memulakan tugas secara rasmi pada 10 November ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengerusi kelab, Dave Cormack percaya pelantikan Pfannenstiel mampu membawa kelab Scottish Premiership itu lebih ke hadapan selepas ini.

“Dengan kepakaran kejurulatihan, tinjauan bakat, pembangunan pemain dan muda dan kepakaran yang diraih menerusi pelbagai peranan dan budaya, kami percaya Lutz bakal menjadi pencetus kepada usaha kelab merealisasikan aspirasi bola sepak dalam beberapa tahun berikutnya.

“Ini termasuk pengetahuan teknikal, pengalaman pembangunan akademi dan rangkaian perekrutan global yang menjadi faktor utama lembaga pengarah memilih beliau untuk peranan ini tatkala kami mahukan kejayaan di atas padang selaras dengan model pembangunan pemain,” katanya.

Pfannenstiel pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bersama Penang FA (kini Penang FC) dari 1993 hingga 1994. Beliau merekodkan 12 penampilan bersama Sang Harimau Kumbang.

Malah, bekas penjaga gol Nottingham Forest itu juga pernah berkongsi pengalamannya berkelana ke Malaysia dengan akhbar The Guardian pada 2015.

“Perpindahan pertama saya ke luar negara ialah tahun 1993 bila saya menyertai Penang FA di Malaysia. Saya tak menyesal melakukannya. Bayern (Munich) memilih sejarah yang hebat dan sudah tentu salah satu pasukan terbaik di dunia.

“Tapi saya tak nak cuma jadi penjaga gol sokongan kepada Oli (Oliver Kahn). Bila peluang ke Malaysia muncul, saya putuskan untuk lakukannya.

“Tetapi pada ketika itu, rancangannya ialah dapatkan pengalaman beberapa perlawanan sebelum berpindah ke Jerman. Saya sendiri tak sangka!” katanya.

Pfannenstiel turut memaklumkan beliau tidak pernah menyesal memilih berkelana ke luar negara termasuk Malaysia dalam karier permainannya.

“Adakah saya akan menukarnya? Jika anda beri jaminan kepada saya 400 perlawanan untuk pasukan hebat Jerman, memang beberapa trofi dan bermain untuk pasukan kebangsaan, dan (jawapannya) ya.

“Tapi anda kena realistik. Apakah saya mampu capai tahap Kahn atau Jens Lehmann? Saya mungkin jadi penjaga gol kedua di mana-mana, bermain beberapa perlawanan apabila penjaga gol utama cedera.

“Apakah saya akan menukarnya dengan karier permainan yang saya harungi? Sudah pasti tidak,” ujarnya.

Selain Penang dan Nottingham Forest, Pfannenstiel juga pernah beraksi untuk Geylang United, Orlando Pirates, Huddersfield Town, Calgary Mustangs, Otago United, Hermann Aichinger dan Vancouver Whitecaps.

Selepas bersara pada 2011, beliau menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Hubungan Antarabangsa dan Tinjauan Bakat TSG Hoffenheim selama lapan tahun.

Sepanjang tempoh tersebut, Pfannenstiel bertanggungjawab mengenal pasti beberapa pemain yang mewarnai Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Joelinton dan Roberto Firmino.

Selepas meninggalkan Hoffenheim, beliau menjadi pengarah sukan Fortuna Dusseldorf selama dua tahun. Pffannenstiel kemudiannya menggalas tugas sebagai Pengarah Sukan St. Louis City SC pada 2020.

Beliau kemudiannya memilih meninggalkan kelab Major League Soccer (MLS) itu pada Ogos 2025.